Friday, May 20, 2011

Sham Kamikaze Dapat Hidayah, Kita Pula Macam Mana?




Shamril bin Mohd Salleh merupakan salah seorang anggota kumpulan Kamikaze yang merupakan kumpulan penyanyi di Malaysia. Dikenali juga sebagai Sham Kamikaze. Alhamdulillah dan tahniah buat Sham Kamikaze yang telah berubah ke arah lebih baik dengan mendapat hidayah dari Allah. Syukur dan tahniah buat Sham.

Kita ini walaupun sudah mengerjakan solat 5 waktu jangan ingat itu sudah cukup. Kita haruslah terus berdoa moga Allah terus memberikan hidayah dan kita dapat melakukan lebih banyak kebaikan. Sehari demi sehari lebih baik.

Jangan ingat hari ini kita baik, esok dan seterusnya kita akan terus baik. Hati manusia ini boleh berbolak balik. Jadi sebagai hambanya adalah menjadi tanggungjawab kite untuk terus berdoa memohon hidayah kepadanya.

Akhir kalam, Usah impikan isteri secantik Balqis andai iman tak seteguh Sulaiman. Usah impikan suami sekacak Yusof andai iman tak sehebat Zulaikha.

Ingatlah sekali kita jahat bukan selamanya kita jahat kerana Allah itu lebih tahu yang terbaik buat kita. Jangan biarkan kesalahan kita terus menyebabkan kita terus melakukan kesalahan demi kesalahan. Taubatlah kunci kepada pintu kebaikan.

Friday, April 15, 2011

Terminal Bas Baru Puduraya Dibuka Lebih Cantik


Jaafar Abu Hassan menunjukkan poster mengumumkan Hentian
 
KUALA LUMPUR: Mulai 16 April ini, para penumpang ke utara Semenanjung boleh menaiki bas di Hentian Puduraya selepas ia menjalani satu proses pemodenan dan pengubahsuaian.
Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, sejumlah RM52 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan taraf terminal tersebut menjadi hab moden.
Katanya, pihaknya menjangkakan semua bas laluan utara akan mula beroperasi dari situ secara berperingkat-peringkat.
"Kita akan mula beroperasi pada Sabtu ini. Persiapan pihak kami, UDA Mall, kini di peringkat akhir. Kerja-kerja major serta pentauliahan dah buat. Cuma tinggal beberapa kerja pembaikan yang sedang dibuat.

Kaunter e-ticketing.
"Kami juga sedang mematuhi saranan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menambah bilangan papan tanda dan tanjakan," katanya kepada pemberita semasa lawatan media di sini, Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md Iksan dan Ketua, Operasi Negeri dan Perlesenan Terminal, SPAD, Mohd Fuad Ahmad.
Menurut Jaafar, Hentian Puduraya berwajah baru itu mempunyai tiga kawasan menunggu yang baru iaitu, tingkat mezanin seluas 1,310 meter persegi yang siap dalam fasa satu pembinaan iaitu April 2010.

Katanya, orang ramai turut disediakan dua tempat menunggu baru di tingkat satu iaitu kawasan menunggu A dan B seluas 1,716 meter persegi yang berhawa dingin dan ia disiapkan dalam fasa dua dan tiga. Tingkat satu dulu menempatkan ruang makan dan gerai runcit.
Tambahnya, sebanyak 50 kaunter tiket disediakan di tingkat satu berbanding 108 kaunter sebelum ini.
Dewan sembahyang terminal seluas 511 meter persegi telah diubahsuai dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan berhawa dingin.

Jelasnya, syarikat yang mempunyai pengarah sama disatukan bagi menjimatkan ruang dan memudahkan pengurusan kawalan kaunter.
Selain itu, terdapat penambahan mobiliti untuk para penumpang melalui peningkatan lif dan eskalator, penambahan dua unit walkalator, laluan pejalan kaki, sistem siar raya, penambahan tandas awam yang melibatkan kemudahan mesra pengguna untuk orang kurang upaya.
Terminal kini menempatkan lebih kurang 245 lot merangkumi kaunter tiket, mesin-mesin Mesin Teler Automatik, kiosk, gerai runcit serta restoran-restoran.

Tempat menunggu bas yang selesa.
Kaunter tiket yang lebih sistematik dibina di tingkat satu, medan selera pada tingkat atas bumbung, pengubahan kipas ekzos di tingkat bawah serta keseluruhan kerja-kerja menaik taraf tingkat bawah tanah.
Dewan sembahyang terminal seluas 511 meter persegi telah diubahsuai dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan berhawa dingin. Setelah diubahsuai, surau itu kini boleh menampung 400 orang jemaah dan mendapat pentauliahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengendalikan sembahyang Jumaat.

Sementara itu, Jaafar memberitahu, UDA Mall telah melantik syarikat teknologi maklumat, Pegasus untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat bas dalam melaksanakan e-ticketing.

Ruang makan.
Katanya, UDA Mall juga mengambil alih Hotel Puduraya dan kerja-kerja penambahbaikan dijangka siap pada akhir Jun dan beroperasi sebulan kemudian di bawah nama baru, Angkasa Ekspress.
Dalam pada itu, Jaafar memberitahu, bas-bas daripada lebih 70 syarikat bas beroperasi di hentian itu akan ke depoh terlebih dahulu sebelum masuk ke situ.

Katanya, depoh tersebut terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan 1,200 ruang letak kenderaan selain tempat makan, minum dan rehat bagi para pemandu bas.
Jelas beliau, ini bertujuan untuk mengurangkan masa menunggu bas di hab tersebut.
"Secara idealnya, bas menunggu 20 minit tetapi selewat-lewatnya setengah jam di situ," katanya.
Jaafar dan Datuk Adnan Md Iksan berbincang sesuatu semasa lawatan media.
Hentian Puduraya ialah terminal utama di Kuala Lumpur. Ia dibuka pada tahun 1976 oleh bekas Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.
Selain menjadi pintu masuk utama ke bandaraya Kuala Lumpur, terminal ini menyediakan tempat berniaga kepada para peniaga tempatan sekali gus membantu kerajaan mencapai objektif Dasar Ekonomi Baru.

Kerja-kerja penambahbaikan dimulakan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengubah suai hentian berkenaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dam memastikan keselesaan penumpang.
Penambahbaikannya bakal menjadikan ia sebagai pusat untuk bas-bas antara bandar selain bas ekspres.

Sumber berita : Mstar Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...