Tuesday, January 4, 2011

Harimau Muda Naik Kereta Kebal Ke Stadium

 Encik Tenangsudey berasa sangat tertarik dengan berita yang disiarkan oleh Berita Harian mengenai perjalanan Harimau Muda di Indonesia sebelum mereka menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010. Jadi sama-samalah kita kongsi sebuah perjalanan yang cukup bermotivasi lagi bervisi.

 'Kami diludah'
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2011/01/02

PENGURUS pasukan bola sepak Malaysia,  Datuk Subahan Kamal (kiri) dan jurulatih pasukan bola sepak Malaysia, K Rajagobal.
PENGURUS pasukan bola sepak Malaysia, Datuk Subahan Kamal (kiri) dan jurulatih pasukan bola sepak Malaysia, K Rajagobal.

Layanan buruk terhadap skuad Harimau Malaya bakar semangat

KUALA LUMPUR: "Kami diludah, dimaki hamun, digelar anjing, dipukul dan dibaling objek keras dan dilayan buruk tetapi itu sebenarnya yang membakar semangat pemain negara untuk menang dan mencipta sejarah negara," kata Datuk Subahan Kamal.

Pengurus pasukan bola sepak Malaysia itu berkata, pemain negara terpaksa diberikan motivasi berterusan setiap hari untuk menangani tekanan itu dan sentiasa diingatkan supaya berpegang pada prinsip 'biar muntah darah, kita akan bawa pulang piala ini'. 

"Sepatutnya kita dapat peluang untuk latihan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, tetapi dibatalkan atas alasan keselamatan"
K Rajagobal
Jurulatih pasukan bola sepak Malaysia
 
Ketika mendedahkan tekanan dan formula kejayaan negara merangkul Piala Suzuki AFF buat julung kalinya, Subahan berkata, semua tindakan provokasi itu sebenarnya ‘terkena ke muka sendiri’ pasukan lawan.

“Banyak sejarah berlaku. Kita bawa pulang piala selepas 14 tahun, kita catat sejarah naik kereta perisai Baracuda ke stadium, umpama ke medan perang. Belum pernah dalam sejarah bola sepak dunia pasukan bola sepak naik kereta perisai.

“Bayangkan betapa panasnya berada di dalam Baracuda selama setengah jam sebab kenderaan perang tidak ada penghawa dingin. Itu semua dugaan yang menguatkan lagi semangat pemain untuk buktikan bahawa kita boleh menjadi juara walaupun menghadapi pelbagai tekanan,” katanya.

Tidak cukup dengan layanan teruk, Ketua Jurulatih, K Rajagobal sendiri diludah peminat Indonesia ketika keluar dari hotel penginapan bahkan, Subahan turut dipukul di kepalanya manakala pegawai perubatan dibaling objek keras ketika sesi latihan.
Rajagobal sendiri mengakui terkejut apabila dimaklumkan pasukan negara akan menaiki Baracuda kerana cuma dimaklumkan beberapa minit sebelum berlepas ke stadium.

“Saya langsung tidak menyangka sehingga ke tahap itu dan cuma dimaklumkan apabila turun ke lobi hotel dan berkumpul di sana. Kita anggap Baracuda itu macam burung Garuda. Saya sendiri tak pernah naik kereta perisai, ini pengalaman baru.

“Mungkin masa kecil dulu ibu saya pernah belikan kereta perisai mainan, tetapi sekarang sudah ada peluang dan pengalaman sendiri bagaimana rasanya duduk di dalam Baracuda,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tekanan ke atas pasukan negara, Subahan berkata, semua masalah itu bermula sebaik saja pasukan negara tiba di Jakarta apabila bas pasukan langsung tidak diiringi polis pengiring sepanjang perjalanan ke hotel.

Situasi itu jauh berbeza ketika pasukan Garuda itu tiba di Malaysia di mana mereka diiringi polis dan menginap di hotel lima bintang di Seri Kembangan pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil.

“Sepatutnya kita dapat peluang untuk latihan akhir di stadium Gelora Bung Karno, tetapi dibatalkan atas alasan keselamatan. Mereka bawa ke tempat lain dan ketika dalam perjalanan, saya dimaklumkan tempat itu jauhnya dua jam perjalanan.

“Saya terus batalkan latihan di sana dan arah bas berpatah balik ke hotel dan kami buat latihan ringan di tepi kolam renang.

“Itupun masih berisiko kerana kawalan keselamatan sangat teruk. Mereka biarkan penyokong Indonesia bebas keluar masuk hotel dan menghampiri tempat latihan,” katanya.

Apa yang paling menyentuh hatinya ialah kesungguhan, keikhlasan pemain untuk menaikkan nama negara melalui beberapa sesi dialog yang diadakan bertujuan memberi peluang kepada pemain meluahkan perasaan dan tekanan.

Setiap kali sesi dialog, pemain akan diberikan motivasi berterusan supaya melupakan segala ancaman dan provokasi yang bertujuan melemahkan semangat pemain.

“Ada pemain yang menangis kerana kecewa kita kalah 1-5 dalam perlawanan pertama menentang Indonesia. Rasa kecewa itulah yang membakar semangat mereka, apatah lagi Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah juga hadir dalam sesi dialog bersama pemain.

“Sebenarnya kami yakin bergelar juara apabila menang ke atas juara bertahan Vietnam kerana itulah pencabar paling kuat. Indonesia tidak sekuat Vietnam, sebab itu kita yakin boleh menang. Cuma perlu ikut percaturan dan kuatkan mental pemain,” katanya.

Secara peribadi, Subahan menganggap kemenangan 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil pada 26 Disember lalu yang jatuh pada tarikh hari lahirnya sebagai hadiah paling berharga dan kenangan paling manis.

Katanya, ikatan persaudaraan berlandaskan semangat kekeluargaan Malaysia Boleh adalah antara faktor penentu kejayaan pasukan.

“Pemain datang dari pelbagai latar belakang berbeza, tetapi boleh hidup bersama. Itulah konsep 1Malaysia, mereka mencontohi bagaimana barisan jurulatih dibentuk dan bekerjasama berteraskan konsep satu keluarga.

“Gabungan Rajagobal, Tan Cheng Hoe (penolong jurulatih) dan Mohd Faozi Mukhlas (jurulatih penjaga gol) itu melambangkan 1Malaysia. Ditambah pula sokongan padu Tengku Abdullah (Timbalan Presiden FAM) yang kerap datang ke tempat latihan dan hadir semua perlawanan hingga pada peringkat akhir,” katanya

 
Ulasan Tenangsudey
Tiada kejayaan yang ditempuh, tanpa pengorbanan. Tiada kejayaan tanpa dilalui oleh kesusahan. Setiap kejayaan dicipta oleh insan-insan yang cemerlang dan ingatlah, Orang yang cemerlang memberikan hasil dan orang yang gagal itu memberikan alasan. Renung-renungkan dan selamat beramal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...