Jawapan: Supaya tidak terkeliru, terlebih dahulu diterangkan maksud jamak. Iaitu menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah, Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak.
Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Qasar diizinkan untuk mereka yang bermusafir. Keizinan jamak lebih luas daripada keizinan qasar.
Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu, tetapi dia tidak boleh menqasarkannya. Ertinya dalam keadaan tertentu dia boleh menunaikan solat Asr dalam waktu Zohor iaitu selepas ditunaikan empat rakaat Zohor, dia menunaikan pula empat rakaat Asr.
Demikian juga dia boleh melakukannya pada waktu Asr, dengan cara melewatkan Zohor. Begitu juga Maghrib dan Isyak. Dalam hadith yang diriwayatkan al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ فَسَأَلْتُ سَعِيدًا لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَالَ سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي فَقَالَ أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِهِ
“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak beban”.Dalam riwayat Muslim yang lain, lafaznya:جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ
“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.Hadith-hadith yang seumpama ini memberi kesimpulan kepada para fuqaha (ulama fekah) bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu dan seumpamanya.
Hal-hal ini seperti mereka yang sakit yang menyukarkannya berwuduk atau bergerak maka bolehlah dia menjamakkan solatnya. Mereka yang terlibat dalam urusan-urusan yang tidak dapat ditinggalkan seperti pembedahan, menjaga lalu lintas, mengendalikan urusan yang bahaya, atau peralatan yang bahaya, terlibat dengan peperiksaan yang telah ditetapkan. Demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya bersolat di tengah perjalanan, maka dia boleh menjamakkan solat sejak di rumahnya, tanpa qasar.
Begitulah juga dengan semua keadaan yang menyukarkan seseorang. Namun hendaklah dia mengutamakan menunaikan solat berdasarkan waktunya terlebih dahulu, jika menyukarkan maka ketika itu diizin.
Kitab-kitab fekah penuh memuatkan masalah ini, terutamanya dalam mazhab al-Imam Ahmad bin Hanbal. Antara Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa al-Kubra (2/348, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut) dan kitab-kitab lain. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut perkara ini dalam Fatwa Mu‘asarah (1/245, cetakan Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
sumber : DrMAZA